Blogger Backgrounds

Pages

Thursday, 24 November 2011

Sajak Buat Kekasih: Hatiku Milik mu

Kekasih
Ku ingin kau tahu
Asyiknya alunan instrumental
Alunan yang sungguh mendamaikan
Alunan yang menyentuh jiwa
Alunan yang menggetarkan jiwa
Alunan yang menggerakkan hati
Untuk menulis tentang hati kita

Kekasih
Adakah kau tahu
Kenapa mata kita berpasangan
Kenapa telinga kita berpasangan
Kenapa tangan kita berpasangan
Kenapa kaki kita berpasangan
Kenapa hati kita hanya satu
Kerana pencipta ingin kita mencari
Mencari hati yang satu lagi

Kekasih
Ku ingin kau tahu
Pasangan hati ini adalah hati mu
Hati kita adalah satu
Yang mungkin jadi dua untuk mu
Yang mungkin jadi tiga untuk mu
Yang mungkin jadi empat untuk mu
Tapi tidak bagi ku

Kekasih
Ku ingin kau tahu
Setiap langkah hati ini
Ada engkau menemani
Walau badai datang  menjelma
Tidak mampu merubah sedetik pun
Kerana hati berkata
Aku ingin memiliki mu

Kekasih
Mengerti lah dikau
Tanpa hati dan perasaan
Tidak mampu ku hasilkan kata puitis ini
Kata puitis yang membicarakan tentang  suatu yang indah
Yang hanya lahir dari hati

Kekasih
Mengerti lah dikau
Dengan kuasa Allah yang maha mendengar dan maha melihat
Engkau tetap untuk ku
Aku tetap untuk mu
Yakinlah…

Sunday, 20 November 2011

Jadi Lain Sudah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera untuk para pembaca sekalian.. (kononlah ada yang baca blog ni) hehe. Kalau betul ada saya doakan kalian semua agar berada di bawah rahmat Allah s.w.t..

Jadi Lain Sudah? Apa yang lain? Emmm yela, mula-mula create blog ni exited nak tulis pasal BUGIS.. Tapi beberapa entry yang dipos ada x yang berkaitan dengan isu BUGIS? Ha... ini lah yang jadi lain sudah..

Actually bukan x nak tulis tapi keadaan yang belum mengizinkan.. Dengan lebih tepat lagi Allah belum izin.. Insyaallah bila semua dah settle sikit demi sikit saya akan share apa yang saya tahu tentang Bugis ni.. Sejarah asal usul kah.. pengislaman orang Bugis kah.. bahasa Bugis kah.. adat Bugis kah.. makanan tradisi Bugis kah ataupun something else yang berkaitan dengan Bugis. Pengislaman orang Bugis? Orang Bugis dulu Kristian kah? Ha... sampai masa nanti saya akan story to u all..

Kenapa tidak story sekarang? Bukan x nak story tapi keadaan yang belum mengizinkan sebab sekarang tengah busy dengan penulisan ilmiah yang turut berkaitan dengan BUGIS. Almaklumlah sudah berada di tahun akhir pengajian kena buat satu latihan ilmiah sebagai syarat untuk graduate.. saya nak graduate so nak x nak kena buat juga.. Tapi.. dengan adanya latihan ilmiah ni juga la yang menimbulkan rasa minat yang semakin mendalam untuk menulis.. saya jadi suka untuk menulis, menulis dan menulis.. Tidak kiralah di mana saya berada.. kalau rasa keinginan nak menulis tu datang saya akan menulis juga.. Buku kecil sentiasa berada bersama saya tidak kiralah berada di stesen bas kah.. dalam bas kah.. di dalam tren kah.. di dalam kapal terbang.. hatta di sebelah bantal..

Bermula dari latihan ilmiah ini juga lah saya semakin mengetahui tentang sejarah Bugis ni.. Siapa itu Puado.. Sejauhmana ketinggian falsafah siri' orang Bugis dan banyak lagilah... So.. teruskan menunggu.. Buat masa ni hanya ada cerita-cerita pendek sahaja.. Sekadar melepaskan keinginan untuk menulis. Kisah pendek pun boleh jadi panjang.. :-)

Semoga blog ini kelak akan menjadi manfaat untuk semua.. Redhakan Ya Allah..

Tuesday, 15 November 2011

Cerita Pendek: Oh Kuala Lumpur

Seawal 6.30 pagi Dira bangun dan bersiap-siap untuk mandi dan menunaikan solat subuh. Hari ini Dira akan ke Kuala Lumpur menuju ke rumah abangnya. Barang-barang dan pakaian yang hendak di bawa belum berkemas lagi. Argghhh!!! Malasnya! Semalam Dira melayan cerita Korea. Autumn In My Heart. Cerita lama tapi masih belum menontonnya. Tambah lagi Dira tidak merasa semangat untuk beraya. Lainlah kalau berada di kampung halaman sendiri. Berhari raya bersama keluarga tercinta. Semua orang pasti akan gembira.

Tiket mahal. Kalau aku balik, adik mesti nak ikut juga. Lagi pun dia first time beraya di KL. Mesti dia nak balik juga kalau aku balik. Kampung nun jauh di sana. Tidak macam kawan-kawan. Mereka boleh balik naik bas. Ada juga yang naik kereta api. Aku?

Setelah bersarapan, Dira meninggalkan rumah dengan menggalas beg laptop dan menjinjing sebuah lagi beg pakaian. Orang nak balik kampung lah katakan. Bukan kampung di seberang laut, tetapi kampung abang yang terletak di sebelah tempat Dira belajar. Perak dan Selangor hanya bersempadan. Kira agak dekat juga lah. Dekat tapi mengambil masa juga untuk sampai ke sana. Bertukar-tukar bas. Bertukar-tukar LRT. Sedang menunggu bas untuk ke pekan, Dira mengeluarkan buku kecilnya berwarna merah jambu. Sedikit catatan di tulis dalam buku itu. Catatan tentang luahan hatinya. Luahan rindu pada seseorang. Semoga dia sihat selalu dan dilindungi oleh Allah. Doa hati kecil Dira.

Bas yang ditunggu-tunggu pun telah tiba. Musim-musim perayaan bas sentiasa penuh. Kalau hari biasa boleh dihitung berapa orang sahaja yang ada di dalam bas. Bas menuju ke pekan. Dari Pekan mengambil satu bas lagi untuk ke Kuala Lumpur. Dira orang terakhir naik ke atas bas. Tinggal satu tempat duduk sahaja yang kosong. Alhamdulillah, nasib baik yang tempat yang kosong itu bersebelahan dengan perempuan. Desis Dira dalam hati.

Dira tersengguk-sengguk di dalam bas. Seperti kelaziman, Dira akan tertidur jika menaiki bas atau kereta yang mengambil masa untuk menuju ke destinasi. Dira tersedar ketika bas sudah memasuki tol Kuala Lumpur. Mata masih mengantuk, tetapi Dira cuba untuk menahan agar tidak tidur lagi.

Bas berhenti di Pasar Seni. Dira turun walaupun berhajat untuk berjalan-jalan di Masjid India. Tetapi, bas yang dinaiki hanya singgah di stesen Puduraya. Dira menuju ke stesen LRT membeli tiket untuk ke Masjid India. Setelah hampir empat tahun berada di Semenanjung, Dira sudah semakin tahu menaiki pengangkutan-pengangkutan yang tidak terdapat di kampung halaman. Berjalan-jalan di kota metropolitan seolah-olah berjalan di pusat bandar kampung halaman. Namun, Dira tetap berwaspada dalam setiap langkah kerana khuatir akan orang sekeliling.

Setelah membeli tiket, Dira menuju ke pusat menunggu. Kebetulan LRT sedang menunggu penumpang. Tetapi kedengaran bunyi yang menandakan pintu LRT akan tertutup. Dira terus melangkah masuk. Aduh!!! Pintu sudah tertutup dan menghimpit Dira. Namun, Dira dapat masuk ke dalam. Bahunya terasa sakit tersepit di pintu. Kedengaran dua tiga orang penumpang tergelak. Sama ada tergelak dengan cerita mereka atau tergelak melihat situasi Dira tersepit di pintu LRT. Ah lantaklah! Ada juga orang macam ni. Bukan simpati, malah tergelak suka. Allah selamatkan aku! Desis Dira. LRT yang dinaiki Dira tiba di stesen Masjid Jamek. Dira turun dan melangkah dengan penuh berhati-hati.

Dira menuju ke Masjid India. Berjalan-jalan melihat jualan-jualan para peniaga. Macam-macam ada. Terasa ingin dibeli semua oleh DIra. Jam, tudung, baju, beg, kasut dan pakaian. Dira menjadi rambang mata memandangkan harga jualan di sana agak murah. Kualiti? Tidak semua barang murah tidak berkualiti. Itulah pendirian Dira. Membeli barang tidak menilai pada harga asalkan selesa memakainya.

Dalam jumlah RM60 juga Dira habiskan dalam masa kurang sejam. Dira memang berhajat untuk shopping di Masjid India. Dira ingin mengurangkan rasa tekanan yang dihadapi. Rasa sedih yang dialami. Dan bermacam-macam-macam perasaan lagi. Sedang berjalan-jalan di kawasan tumpuan itu, Dira teringat akan rakan-rakannya. Kadang-kadang mereka berjalan bersama. Tapi, hari itu Dira hanya berjalan seorang diri dengan beg yang digalas dan dijinjing. Lantak lah apa orang nak cakap. Beg aku, bukan beg dia orang! Duit aku, bukan duit dia orang! Disebabkan berjalan seorang diri, Dira lebih banyak bermonolog dalam diri.

Setelah puas berjalan-jalan di Masjid India, perut sudah terasa lapar. Dira merancang untuk makan di Puduraya. Dira pun membeli tiket LRT untuk ke Puduraya. Tiket sudah dibeli, tetapi Dira salah tempat membeli tiket. Dira patah semula ke stesen sebelah. Dira menjadi teragak-agak stesen mana yang sepatutnya dinaiki. Sampai ke satu stesen Dira pun bertanya kepada seorang perempuan yang memakai baju kurung dan bertudung. Mesti dia ni orang baik, tanya dia lah sebelum aku tersalah naik LRT. Bisik Dira di dalam hati.

Assalamualaikum, nak tanya boleh?

Perempuan itu mengangguk dan tersenyum.

Stesen ni menuju ke Pudu kan?

Perempuan itu mengangguk. Tak boleh bercakap dah ke? Tak pe lah, dia dah meyakinkan aku stesen ni dah betul. Ngomel Dira dalam hati.

Dira melalui tiga stesen. Dira masuk dengan penuh berhati-hati agar tidak tersepit memandangkan ramai penumpang yang hendak masuk sekali. Dira berdiri kerana tiada kekosongan tempat. Destinasi Dira pun sampai. Dira merasa pelik sebab tidak ramai penumpang yang turun. Dira pun melangkah keluar dan bertanggapan penumpang yang lain mesti ramai yang turun di  stesen Hang Tuah.

Dira melangkah mengikuti beberapa orang yang keluar dari LRT yang mereka naiki. Dira terasa hairan sebab suasana  tidak sama seperti di Puduraya. Mungkin dah baru kot. Kan Puduraya sekarang dah baru. Tak macam dulu lagi. Dira menyedapkan hatinya. Laluan yang diikuti Dira mempunyai cabang. Dira mula menjadi keliru. Macam pelik je jalan ni. Dira berkata-kata dalam dirinya sendiri.  Dira terus melangkah. Laluan yang diikuti hanya lorong-lorong kecil. Dira melalui satu kuil. Ish! Jalan mana ni? Dira tertanya-tanya. Memandangkan ramai juga yang melalui jalan itu, Dira hanya berfikiran positif. Jauh juga stesen ni nak menuju ke Puduraya. Sedangkan dulu rasa macam dekat je. Dira menyedapkan hatinya. Laluan yang diikuti Dira masuk ke sebuah apartmen. Tiba di satu kawasan, Dira tidak tahu hendak memilih laluan mana lagi. Sah! Dira tersesat.

Auntie, nak tanya boleh? Ni kat mana ek?

Kolokium.

Kolokium? Saya nak ke Pudu ikut jalan mana ek auntie?

Jalan Pudu sana lagi. Dari stesen LRT jalan terus dan akan nampak Pudu?

Oh ye ke auntie? Terima kasih ye auntie.

Dira meyakini seorang makcik India adalah orang baik. Makcik India itu baharu sahaja menutuk gerainya dan Dira bertanya kepada makcik India tersebut. Rupanya, Dira tersalah jalan. Dira patah balik. Dira mula berasa risau. Risau jalan kembali ke stesen LRT salah. Dira berjalan sudah hampir setengah jam. Kaki sudah terasa lenguh. Alhamdulillah dah sampai semula di stesen ni. Owh.. sepatutnya tadi saya ikut jalan ni. Tapi pergi ikut laluan tu pulak. Tu lah, ikut sangat orang yang berjalan di hadapan. Dira merungut sendiri.

Dira meneruskan perjalanan dengan kaki yang mula terasa lenguh. Tetapi, sekali lagi Dira terasa pelik kerana laluan tetap berbeza seperti laluan yang pernah diikuti semasa di Puduraya dahulu. Aku sesat lagi kah? Dira mula berasa tidak sedap hati lagi.

Walaupun laluan yang diikuti kini kelihatan lebih lapang dan ramai orang yang melaluinya, namun Dira tetap berasa pelik. Memandangkan banyak kedai dan tempat membaiki kenderaan bermotor, namun Dira tidak berani bertanya kerana mereka lelaki. Kawasan yang dilalui Dira pun agak lapang. Sepanjang perjalanan, Dira tidak putus-putus membaca surah-surah lazim. Ayat kursi, surah Al-Fatihah tidak putus-putus dalam hatinya. Dira berdoa agar Allah memberi petunjuk jalan.

Dira meneruskan perjalanan. Dira menganggap laluannya adalah betul kerana kelihatan jalan raya dan kenderaan yang banyak. Dira menuju ke sana.

Tapi, kenapa keadaannya tidak sama macam Puduraya? Aku sesat lagi kah? Di mana aku sekarang? Perlu kah aku hubungi dia? Tapi, nanti dia akan risau pula. Persoalan demi persoalan bermain di fikiran Dira. Kerisauan nya sehingga ingin menghubungi seorang hamba Allah yang masih berada di hatinya. Demi keluarga, hubungan terhenti. Allah lebih mengetahui mana yang terbaik untuk mereka. Dira pun mengambil keputusan untuk bertanya dengan seorang peniaga kedai runcit. Seorang lelaki Cina yang sudah berusia. Dira meyakinkan dirinya bahawa lelaki cina itu adalah orang baik dan tidak akan mengapa-apakannya.

Uncle, nak tanya boleh? Nak pergi Puduraya ikut laluan mana ye?

Puduraya sana.

Jauh ke uncle dari sini?

Jauh oo
Amoi dari mana?

Saya dari Masjid India nak ke Puduraya

Awak salah turun stesen la amoi. Awak kena turun dekat stesen Plaza Rakyat.

Owh ye ke uncle?

Awak pergi stesen LRT ambil tiket ke Plaza Rakyat la.

Owh baiklah uncle. Terima kasih ya uncle.

Astagfirullahalazim. Jauhnya aku berjalan. Ya Allah, kuatkan hamba mu ini. Dira terasa sedih. Rupanya auntie yang menunjukkan jalan juga salah. Bukan auntie tu yang salah. Dira yang salah kerana salah turun stesen. Dira terasa ingin menitiskan air mata. Kaki terasa lenguh sangat dengan beg yang digalas dan dijinjing. Rupanya tersesat. Sedar tidak sedar hampir sejam Dira tersesat hanya ingin menuju ke Puduraya sahaja. Kalau aku berjalan kaki dari Masjid India ke Puduraya mesti aku tidak sesat. Dira merintih dalam hati kecilnya.

Dira mengambil keputusan untuk menaiki teksi sahaja ke Puduraya. Dira sudah tidak peduli tentang kos asalkan dia boleh sampai di Puduraya.

Sampai ke Puduraya Dira bertanya kepada seorang pengawal keselamatan tentang stesen bas yang hendak dinaiki. Seminggu sebelum bercuti Dira ada membaca dalam salah satu akhbar tempatan berkaitan stesen bas untuk ke tempat yang ingin dituju ditutup buat sementara waktu untuk penambahbaikan. Jadi Dira tidak tahu stesen bas yang baharu. Pengawal keselamatan menjawab setiap pertanyaan Dira
.
Dira menuju ke tempat yang diberitahu. Alhamdulillah, jumpa juga bas yang akan menuju ke sana. Doa Dira dalam hatinya. Sebelum menaiki bas, DIra mengambil keputusan untuk makan dahulu. Dira akan menjamakkan solatnya setelah sampai di rumah abangnya nanti.

Setelah itu, Dira menaiki bas. Dalam perjalanan, Dira tertidur keletihan. Dira memberitahu tentang perjalanannya hari itu dan rakan-rakannya terasa kelakar dengan ceritanya. Dira tersenyum sendiri. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam. Sampai di tempat yang ingin dituju, abang kandungnya sudah menunggu di stesen bas bersama seorang budak kecil, iaitu anak buah Dira.

Dira selamat sampai di rumah dan terus mandi. Dira bersiap-siap dan selepas maghrib, Dira, kakak iparnya, anak buahnya, dan abangnya bersiap-siap untuk ke UKM pula untuk mengambil adiknya di sana.
Raya Aidiladha pada tahun ini, sekali lagi Dira beraya bersama mereka dan kali pertama untuk adiknya yang baru menyambung pengajiannya di UKM. Beraya di perantauan sangat menyedihkan. Tapi ini lah pengorbanan belajar di negeri orang. Semoga Allah memberikan ganjaran atas pengorbanan ini.

Perjalanan Dira menuju ke rumah abangnya memberi satu seribu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Banyak pengajaran yang dapat diambil dalam setiap apa yang dilaluinya. Setiap musibah, ada hikmah di sebalik semuanya kerana Dira yakin pada Allah swt. Allah akan melindungi setiap hamba yang sentiasa ingat padanya sesungguhnya Dia lah maha penolong dan sebaik-baik pelindung.

Saturday, 5 November 2011

6 Nov: Dedikasi Untuk Sahabat

Aku punya seorang sahabat yang baik. Aku mengenalinya sejak berada di bangku sekolah rendah lagi pada tahun 1995. Dihitung-hitung, aku mengenalinya sudah 16 tahun. Semoga ikatan persahabatan kami kekal hingga ke syurga Allah. Walaupun aku mengenalinya sejak berada di sekolah rendah lagi,  namun aku tidak pernah bersua dengannya. Almaklumlah, dia orang bijak. Tidak seperti saya yang tidak berada di kelas orang-orang pandai. Cuma berada di pertengahan kelas sahaja. Namun, pada masa itu aku masih tetap bersyukur kerana tidaklah berada di kelas hujung.  Aku banyak mengetahui tentang sahabat ku itu daripada seorang jiran ku yang turut menjadi rakan di kampung ku, iaitu Linda. Apabila hujung minggu aku sering ke rumahnya dan berborak-borak tentang hal di sekolah. Daripada cerita Linda lah aku mengetahui tentang Ina yang telah menjadi sahabat karib ku kini.

            
Ketika berada di Tingkatan 1, aku terpilih untuk berada di kelas orang-orang bijak. Aku tidak punya kawan kerana rakan ku yang lain berada di kelas lain. Aku berasa sedih kerana tiada seorang pun yang ingin duduk di sebelah ku ketika mula-mula masuk ke dalam kelas. Aku duduk keseorangan. Ketika itu, tempat duduk Ina di hadapan meja ku. Tidak lama kemudian Ina memanggil seorang rakannya untuk duduk di sebelah ku. Rakannya itu bernama Ina. Bermula dari hari itu, kamu menjalinkan persahabatan. Pada mulanya aku berasa kekok. Apa tidaknya, mereka semua orang bijak-bijak. Aku merendah diri apabila bersama-sama mereka ataupun berbual-bual dengan mereka. Aku lebih banyak mendengar daripada bersuara. Dalam kalangan kami, Ina lah yang suka bercerita dan sentiasa ada sahaja yang ingin dikongsi bersama kami.

Disebabkan aku bergaul dengan orang-orang bijak, aku juga sentiasa berusaha untuk menjadikan diri ini sebagai orang bijak. Aku berusaha untuk menjadi lebih bijak walaupun tidak sehebat Ina. Aku sentiasa bersama mereka. Kami membentuk satu kumpulan kecil. Aku, Umairah, Liyana, Ida dan Dara. Kami sentiasa bersama walau ke mana sahaja. Masuk kelas bersama, ke kantin bersama dan perpustakaan bersama. Setelah menduduki Penilaian Menengah Rendah, kami masih bersama lagi. Ina banyak menolong aku dan rakan-rakan yang lain dalam pelajaran. Dengan izin Allah, kami semua berjaya mendapat keputusan yang baik. Ina sudah tentu menjadi pelajar terbaik dengan mendapat 8A. Aku sebagai sahabatnya turut berasa bangga.

Ketika berada di menengah atas juga kami masih bersahabat. Sehinggalah menjelang tiba waktu penilaian Sijil Pelajaran Malaysia, kami sering menghabiskan masa bersama mengulang kaji pelajaran. Aku dan rakan-rakan sering ke rumah Ina untuk belajar bersamanya. Kami belajar secara kumpulan. Kami membahagi-bahagikan topik agar semua terlibat sama dalam sesi pembelajaran. Ina mengajar aku dengan penuh sabar. Subjek dalam aliran sains bukanlah mudah untuk aku. Penerangan guru sahaja tidak cukup untuk aku kuasai. Dengan bantuan Ina, aku dapat memahami sedikit-demi sedikit tentang topik pelajaran. Ketika tiba giliran aku pula memberi penerangan tentang topik yang diberikan, perasaan rendah diri begitu tinggi dalam diri ku. Namun, aku tetap berusaha untuk buat yang terbaik. Inilah hikmah terbesar aku bersahabat dengan orang-orang bijak. Aku akan sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik. Mereka boleh, aku pun boleh!

Setelah SPM, kami dengan haluan masing-masing. Ina berjaya menyambung pengajiannya ke matrikulasi. Aku sekadar mengambil Sijil Tinggi Pengajaran Malaysia sahaja. Dua orang rakan ku tidak dapat meneruskan pengajian mereka sebab menghadapi masalah. Mungkin belum rezeki mereka. Walaupun kami dengan haluan sendiri, namun hubungan aku dengan Ina masih terjalin lagi. Berada di tingkatan 6, aku menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Pernah sekali ketika menduduki peperiksaan, aku berjaya mendapat tempat pertama di dalam kelas. Sepanjang aku bersekolah, itulah merupakan kali pertama aku mendahului semua rakan-rakan. Aku mengkhabarkan berita itu kepada Ina. Dia berbangga dengan aku. Jika dibandingkan dengan pencapaian Ina di sekolah, dialah yang sering mendapat tempat pertama. Tapi, aku mula sedar bahawa, setiap insan punya kelebihan masing-masing.

Ketika berada di tingkatan 6, aku tidak bergantung dengan Ina lagi untuk memberi tunjuk ajar kepada ku dalam pelajaran. Malah, rakan-rakan di dalam kelas pula yang bertanya kepada ku. Kadang-kadang mereka meminjam nota yang aku buat sebagai rujukan mereka. Aku dapat merasakan seperti mana yang dialami oleh Ina suatu ketika dahulu. Aku berusaha untuk berjaya. Latihan-latihan yang diberikan oleh guru sentiasa aku siapkan. Hasilnya, aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Walaupun tidak dapat menjadi pelajar terbaik di sekolah, aku berpuas hati kerana telah berusaha bersungguh-sungguh. Aku yakin bahawa semua yang berlaku adalah dengan izin Allah. Dengan usaha, doa dan tawakal, aku berjaya memperoleh kejayaan.

Setelah STPM, aku menghabiskan masa di rumah sahaja. Pernah sekali aku bekerja sambilan ketika pilihan raya yang ke-12. Banyak kenangan ketika aku bekerja. Kenangan yang tidak dapat aku lupakan sampai bila-bila. Di sinilah aku bertemu dengan seorang insan yang pernah menjadi kekasih hatiku. Ah! Kisah lama! Tidak perlulah aku ungkit dan kongsikan dengan sesiapa. Walau dengan Ina sekalipun. Kenapa? Ah! Biarlah menjadi kenangan buat aku sahaja. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui akan setiap rencana-Nya buat kami sebagai hambanya.

Pada suatu hari, aku pergi ke pusat siber dengan tujuan melihat keputusan permohonan kemasukan ke IPTA. Aku bersyukur kerana lulus untuk menduduki ujian MEDSI, iaitu syarat untuk belajar di salah sebuah universiti pendidikan di Malaysia. Alhamdulillah aku berjaya melepasi ujian itu. Tinggal menunggu ujian temu duga pula. Memandangkan Ina belajar di sebuah universiti yang menjalankan temu duga untuk pelajar yang lulus dalam ujian bertulis, maka aku memilih tempat itu untuk aku ditemu duga. Aku menjadi tidak sabar untuk menemuinya setelah lama tidak bertemu. Aku bercadang untuk tinggal di asramanya untuk beberapa hari. Dia mengalu-alukan kedatangan ku dan turut berasa tidak sabar untuk menemui ku. Seolah-olah kami telah terpisah lama.

Tiba hari yang ditunggu, Ina menjemput ku di stesen bas. Aku terkejut dengan perubahan Ina. Malunya aku pada masa itu dengan penampilan ku dibandingkan dengan jubah yang dipakainya. Sedangkan aku berseluar jeans dan memakai t-shirt berlengan pendek. Aku benar-benar menjadi malu kepadanya. Namun, dia bersahaja sahaja dan tetap menganggap aku sebagai sahabatnya seperti dahulu. Dia membantu aku mengangkat beg sehinggalah sampai ke biliknya. Aku menjadi kekok kerana rakan-rakan sebiliknya kesemuanya sepertinya. Semuanya alim-alim belaka. Terasa kerdilnya aku. Siapalah aku dibandingkan dengan mereka?

Menjelang subuh, Ina mengejutkan aku untuk bersolat jemaah. Aku terkedu kerana tidak pernah bersolat jemaah bersama rakan-rakan sebaya. Ketika tiba di bilik solat, mereka meminta aku menjadi imam. Astagfirullahalazim.. aku tidak tahu ya Allah. Jadi, aku menolaknya dengan lembut dan meminta mereka sahaja menjadi imam. Setelah selesai solat berjemaah, mereka mengambil buku kecil yang ada di dalam bilik itu. Surah Yasin. Ada juga yang mengambil al-Quran dan mengalunkan bacaan mereka. Aku turut memilih satu surah Yasin. Aku membacanya dengan tergagap-gagap. Tidak lancar seperti mereka kerana jarang sungguh mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Aku tersedar. Aku harus mencontohi mereka. Memperbaiki akhlak dan memperbanyakkan ibadah. Seseungguhnya, itu sahajalah bekalan untuk di bawa bertemu dengan Allah kelak. Aku berdoa agar pintu hatiku dibuka untuk berubah ke jalan yang lebih baik.

Pertemuan singkat aku bersama Ina banyak mengajar aku. Dalam tidak sedar, Ina masih memberi tunjuk ajar kepada ku. Bukan dalam pelajaran, tetapi perkara yang lebih penting, iaitu sentiasa mengingati Allah dalam setiap apa yang dilakukan. Terima kasih Ina! Semoga Allah sentiasa memberkati hidup mu.

Masa berganti masa, aku berjaya mendapat tawaran sambung belajar di salah sebuah IPTA di Malaysia. Pada hari keberangkatan aku ke Semenanjung Tanah Melayu, kebetulan Ina sedang cuti semester. Ina berkunjung ke rumah ku untuk berbual-bual bersama ku. Banyak yang kami bualkan. Dia di rumah ku hingga ke petang hari. Dia turut mengiringi aku ke lapangan kapal terbang. Di sana, dia membelikan aku keychain pooh sebagai tanda ingatan aku kepadanya. Ketika bersalaman, aku bukan sahaja bersedih meninggalkan keluarga tercinta, malah sahabat-sahabat ku yang turut menghantar aku turut bersedih. Semoga kita akan berjumpa lagi!

Setelah hampir empat tahun aku dalam pengajian ini, Ina masih tidak habis lagi dengan ijazahnya dalam bidang kedoktoran. Sedangkan sepatutnya kami akan habis pengajian bersama-sama. Rezeki masing-masing. Semua di tangan Allah. Beberapa hari lagi tibalah hari jadi mu. Aku tidak pernah menghadiahkan apa-apa kepada mu. Hanya doa yang aku hadiahkan. Semoga engkau berjaya dalam hidup ini. Menjadi seorang doktor yang bisa merawat pesakit. Menjadi seorang doktor yang disayangi oleh para pesakit. Menjadi doktor andainya aku sakit. Insya-Allah, jika diizinkan Tuhan, aku pula yang akan mengajar anak-anak mu dalam pelajaran kelak. Semoga engkau bertemu jodoh yang beriman. Dan yang paling penting, semoga kita sama-sama menjadi anak yang solehah buat keluarga tercinta. Kebahagiaan mereka, kebahagiaan kita juga. Semoga Allah redha akan persahabatan kita kekal hingga ke syurga. Selamat ulang tahun yang ke-23 pada 6 November ini. Semoga dipanjangkan usia! Terima kasih sahabat!

Thursday, 3 November 2011

Sajak Buat Mak...

Mak...
Anak mu ini sedih bila mendengar suara mu
Suara kurang sihat yang menyebabkan hati ini terasa sebak
Suara yang menjadikan diri ini rindu pada mu

Mak...
Dengarlah rintihan anak mu ini
Rintihan seorang anak yang lemah
Lemah tanpa mak di sisi

Mak...
Ampuni dosa-dosa anak mu ini
Dosa yang dilakukan secara sedar atau tanpa sedar
Dosa yang menyebabkan mak tersentuh dengan tindakan diri ini

Mak...
Kini anak mu sedar
Pengorbanan mak selama ini
Membesarkan diri ini hingga kini
Susah payah mak
Kesedihan mak
Kesakitan mak
Mak lindungi demi kebahagiaan anak mu ini

Terima kasih mak
Atas doa mak anak mu hampir berjaya
Dengan sedikit doa lagi daripada mak
Diri ini akan mencapai cita-citanya
Cita-cita yang turut menjadi impain mak

Mak...
Sesungguhnya diri ini sayang pada mu
Sayang yang tiada nilainya
Semoga mak sentiasa dalam redha Allah
Kerana mak lah ibu yang terbaik dalam hidup ini

Terima kasih mak
Semoga anak mu ini dapat menjadi anak yang berjasa
Berjasa pada Mak dan Abah dunia dan akhirat
Redha kan Ya Allah