Aku punya seorang sahabat yang baik. Aku mengenalinya sejak berada di bangku sekolah rendah lagi pada tahun 1995. Dihitung-hitung, aku mengenalinya sudah 16 tahun. Semoga ikatan persahabatan kami kekal hingga ke syurga Allah. Walaupun aku mengenalinya sejak berada di sekolah rendah lagi, namun aku tidak pernah bersua dengannya. Almaklumlah, dia orang bijak. Tidak seperti saya yang tidak berada di kelas orang-orang pandai. Cuma berada di pertengahan kelas sahaja. Namun, pada masa itu aku masih tetap bersyukur kerana tidaklah berada di kelas hujung. Aku banyak mengetahui tentang sahabat ku itu daripada seorang jiran ku yang turut menjadi rakan di kampung ku, iaitu Linda. Apabila hujung minggu aku sering ke rumahnya dan berborak-borak tentang hal di sekolah. Daripada cerita Linda lah aku mengetahui tentang Ina yang telah menjadi sahabat karib ku kini.
Ketika berada di menengah atas juga kami masih bersahabat. Sehinggalah menjelang tiba waktu penilaian Sijil Pelajaran Malaysia, kami sering menghabiskan masa bersama mengulang kaji pelajaran. Aku dan rakan-rakan sering ke rumah Ina untuk belajar bersamanya. Kami belajar secara kumpulan. Kami membahagi-bahagikan topik agar semua terlibat sama dalam sesi pembelajaran. Ina mengajar aku dengan penuh sabar. Subjek dalam aliran sains bukanlah mudah untuk aku. Penerangan guru sahaja tidak cukup untuk aku kuasai. Dengan bantuan Ina, aku dapat memahami sedikit-demi sedikit tentang topik pelajaran. Ketika tiba giliran aku pula memberi penerangan tentang topik yang diberikan, perasaan rendah diri begitu tinggi dalam diri ku. Namun, aku tetap berusaha untuk buat yang terbaik. Inilah hikmah terbesar aku bersahabat dengan orang-orang bijak. Aku akan sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik. Mereka boleh, aku pun boleh!
Setelah SPM, kami dengan haluan masing-masing. Ina berjaya menyambung pengajiannya ke matrikulasi. Aku sekadar mengambil Sijil Tinggi Pengajaran Malaysia sahaja. Dua orang rakan ku tidak dapat meneruskan pengajian mereka sebab menghadapi masalah. Mungkin belum rezeki mereka. Walaupun kami dengan haluan sendiri, namun hubungan aku dengan Ina masih terjalin lagi. Berada di tingkatan 6, aku menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Pernah sekali ketika menduduki peperiksaan, aku berjaya mendapat tempat pertama di dalam kelas. Sepanjang aku bersekolah, itulah merupakan kali pertama aku mendahului semua rakan-rakan. Aku mengkhabarkan berita itu kepada Ina. Dia berbangga dengan aku. Jika dibandingkan dengan pencapaian Ina di sekolah, dialah yang sering mendapat tempat pertama. Tapi, aku mula sedar bahawa, setiap insan punya kelebihan masing-masing.
Ketika berada di tingkatan 6, aku tidak bergantung dengan Ina lagi untuk memberi tunjuk ajar kepada ku dalam pelajaran. Malah, rakan-rakan di dalam kelas pula yang bertanya kepada ku. Kadang-kadang mereka meminjam nota yang aku buat sebagai rujukan mereka. Aku dapat merasakan seperti mana yang dialami oleh Ina suatu ketika dahulu. Aku berusaha untuk berjaya. Latihan-latihan yang diberikan oleh guru sentiasa aku siapkan. Hasilnya, aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Walaupun tidak dapat menjadi pelajar terbaik di sekolah, aku berpuas hati kerana telah berusaha bersungguh-sungguh. Aku yakin bahawa semua yang berlaku adalah dengan izin Allah. Dengan usaha, doa dan tawakal, aku berjaya memperoleh kejayaan.
Setelah STPM, aku menghabiskan masa di rumah sahaja. Pernah sekali aku bekerja sambilan ketika pilihan raya yang ke-12. Banyak kenangan ketika aku bekerja. Kenangan yang tidak dapat aku lupakan sampai bila-bila. Di sinilah aku bertemu dengan seorang insan yang pernah menjadi kekasih hatiku. Ah! Kisah lama! Tidak perlulah aku ungkit dan kongsikan dengan sesiapa. Walau dengan Ina sekalipun. Kenapa? Ah! Biarlah menjadi kenangan buat aku sahaja. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui akan setiap rencana-Nya buat kami sebagai hambanya.
Pada suatu hari, aku pergi ke pusat siber dengan tujuan melihat keputusan permohonan kemasukan ke IPTA. Aku bersyukur kerana lulus untuk menduduki ujian MEDSI, iaitu syarat untuk belajar di salah sebuah universiti pendidikan di Malaysia. Alhamdulillah aku berjaya melepasi ujian itu. Tinggal menunggu ujian temu duga pula. Memandangkan Ina belajar di sebuah universiti yang menjalankan temu duga untuk pelajar yang lulus dalam ujian bertulis, maka aku memilih tempat itu untuk aku ditemu duga. Aku menjadi tidak sabar untuk menemuinya setelah lama tidak bertemu. Aku bercadang untuk tinggal di asramanya untuk beberapa hari. Dia mengalu-alukan kedatangan ku dan turut berasa tidak sabar untuk menemui ku. Seolah-olah kami telah terpisah lama.
Tiba hari yang ditunggu, Ina menjemput ku di stesen bas. Aku terkejut dengan perubahan Ina. Malunya aku pada masa itu dengan penampilan ku dibandingkan dengan jubah yang dipakainya. Sedangkan aku berseluar jeans dan memakai t-shirt berlengan pendek. Aku benar-benar menjadi malu kepadanya. Namun, dia bersahaja sahaja dan tetap menganggap aku sebagai sahabatnya seperti dahulu. Dia membantu aku mengangkat beg sehinggalah sampai ke biliknya. Aku menjadi kekok kerana rakan-rakan sebiliknya kesemuanya sepertinya. Semuanya alim-alim belaka. Terasa kerdilnya aku. Siapalah aku dibandingkan dengan mereka?
Menjelang subuh, Ina mengejutkan aku untuk bersolat jemaah. Aku terkedu kerana tidak pernah bersolat jemaah bersama rakan-rakan sebaya. Ketika tiba di bilik solat, mereka meminta aku menjadi imam. Astagfirullahalazim.. aku tidak tahu ya Allah. Jadi, aku menolaknya dengan lembut dan meminta mereka sahaja menjadi imam. Setelah selesai solat berjemaah, mereka mengambil buku kecil yang ada di dalam bilik itu. Surah Yasin. Ada juga yang mengambil al-Quran dan mengalunkan bacaan mereka. Aku turut memilih satu surah Yasin. Aku membacanya dengan tergagap-gagap. Tidak lancar seperti mereka kerana jarang sungguh mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Aku tersedar. Aku harus mencontohi mereka. Memperbaiki akhlak dan memperbanyakkan ibadah. Seseungguhnya, itu sahajalah bekalan untuk di bawa bertemu dengan Allah kelak. Aku berdoa agar pintu hatiku dibuka untuk berubah ke jalan yang lebih baik.
Pertemuan singkat aku bersama Ina banyak mengajar aku. Dalam tidak sedar, Ina masih memberi tunjuk ajar kepada ku. Bukan dalam pelajaran, tetapi perkara yang lebih penting, iaitu sentiasa mengingati Allah dalam setiap apa yang dilakukan. Terima kasih Ina! Semoga Allah sentiasa memberkati hidup mu.
Masa berganti masa, aku berjaya mendapat tawaran sambung belajar di salah sebuah IPTA di Malaysia. Pada hari keberangkatan aku ke Semenanjung Tanah Melayu, kebetulan Ina sedang cuti semester. Ina berkunjung ke rumah ku untuk berbual-bual bersama ku. Banyak yang kami bualkan. Dia di rumah ku hingga ke petang hari. Dia turut mengiringi aku ke lapangan kapal terbang. Di sana, dia membelikan aku keychain pooh sebagai tanda ingatan aku kepadanya. Ketika bersalaman, aku bukan sahaja bersedih meninggalkan keluarga tercinta, malah sahabat-sahabat ku yang turut menghantar aku turut bersedih. Semoga kita akan berjumpa lagi!
Setelah hampir empat tahun aku dalam pengajian ini, Ina masih tidak habis lagi dengan ijazahnya dalam bidang kedoktoran. Sedangkan sepatutnya kami akan habis pengajian bersama-sama. Rezeki masing-masing. Semua di tangan Allah. Beberapa hari lagi tibalah hari jadi mu. Aku tidak pernah menghadiahkan apa-apa kepada mu. Hanya doa yang aku hadiahkan. Semoga engkau berjaya dalam hidup ini. Menjadi seorang doktor yang bisa merawat pesakit. Menjadi seorang doktor yang disayangi oleh para pesakit. Menjadi doktor andainya aku sakit. Insya-Allah, jika diizinkan Tuhan, aku pula yang akan mengajar anak-anak mu dalam pelajaran kelak. Semoga engkau bertemu jodoh yang beriman. Dan yang paling penting, semoga kita sama-sama menjadi anak yang solehah buat keluarga tercinta. Kebahagiaan mereka, kebahagiaan kita juga. Semoga Allah redha akan persahabatan kita kekal hingga ke syurga. Selamat ulang tahun yang ke-23 pada 6 November ini. Semoga dipanjangkan usia! Terima kasih sahabat!


0 comments:
Post a Comment