Blogger Backgrounds

Pages

Tuesday, 15 November 2011

Cerita Pendek: Oh Kuala Lumpur

Seawal 6.30 pagi Dira bangun dan bersiap-siap untuk mandi dan menunaikan solat subuh. Hari ini Dira akan ke Kuala Lumpur menuju ke rumah abangnya. Barang-barang dan pakaian yang hendak di bawa belum berkemas lagi. Argghhh!!! Malasnya! Semalam Dira melayan cerita Korea. Autumn In My Heart. Cerita lama tapi masih belum menontonnya. Tambah lagi Dira tidak merasa semangat untuk beraya. Lainlah kalau berada di kampung halaman sendiri. Berhari raya bersama keluarga tercinta. Semua orang pasti akan gembira.

Tiket mahal. Kalau aku balik, adik mesti nak ikut juga. Lagi pun dia first time beraya di KL. Mesti dia nak balik juga kalau aku balik. Kampung nun jauh di sana. Tidak macam kawan-kawan. Mereka boleh balik naik bas. Ada juga yang naik kereta api. Aku?

Setelah bersarapan, Dira meninggalkan rumah dengan menggalas beg laptop dan menjinjing sebuah lagi beg pakaian. Orang nak balik kampung lah katakan. Bukan kampung di seberang laut, tetapi kampung abang yang terletak di sebelah tempat Dira belajar. Perak dan Selangor hanya bersempadan. Kira agak dekat juga lah. Dekat tapi mengambil masa juga untuk sampai ke sana. Bertukar-tukar bas. Bertukar-tukar LRT. Sedang menunggu bas untuk ke pekan, Dira mengeluarkan buku kecilnya berwarna merah jambu. Sedikit catatan di tulis dalam buku itu. Catatan tentang luahan hatinya. Luahan rindu pada seseorang. Semoga dia sihat selalu dan dilindungi oleh Allah. Doa hati kecil Dira.

Bas yang ditunggu-tunggu pun telah tiba. Musim-musim perayaan bas sentiasa penuh. Kalau hari biasa boleh dihitung berapa orang sahaja yang ada di dalam bas. Bas menuju ke pekan. Dari Pekan mengambil satu bas lagi untuk ke Kuala Lumpur. Dira orang terakhir naik ke atas bas. Tinggal satu tempat duduk sahaja yang kosong. Alhamdulillah, nasib baik yang tempat yang kosong itu bersebelahan dengan perempuan. Desis Dira dalam hati.

Dira tersengguk-sengguk di dalam bas. Seperti kelaziman, Dira akan tertidur jika menaiki bas atau kereta yang mengambil masa untuk menuju ke destinasi. Dira tersedar ketika bas sudah memasuki tol Kuala Lumpur. Mata masih mengantuk, tetapi Dira cuba untuk menahan agar tidak tidur lagi.

Bas berhenti di Pasar Seni. Dira turun walaupun berhajat untuk berjalan-jalan di Masjid India. Tetapi, bas yang dinaiki hanya singgah di stesen Puduraya. Dira menuju ke stesen LRT membeli tiket untuk ke Masjid India. Setelah hampir empat tahun berada di Semenanjung, Dira sudah semakin tahu menaiki pengangkutan-pengangkutan yang tidak terdapat di kampung halaman. Berjalan-jalan di kota metropolitan seolah-olah berjalan di pusat bandar kampung halaman. Namun, Dira tetap berwaspada dalam setiap langkah kerana khuatir akan orang sekeliling.

Setelah membeli tiket, Dira menuju ke pusat menunggu. Kebetulan LRT sedang menunggu penumpang. Tetapi kedengaran bunyi yang menandakan pintu LRT akan tertutup. Dira terus melangkah masuk. Aduh!!! Pintu sudah tertutup dan menghimpit Dira. Namun, Dira dapat masuk ke dalam. Bahunya terasa sakit tersepit di pintu. Kedengaran dua tiga orang penumpang tergelak. Sama ada tergelak dengan cerita mereka atau tergelak melihat situasi Dira tersepit di pintu LRT. Ah lantaklah! Ada juga orang macam ni. Bukan simpati, malah tergelak suka. Allah selamatkan aku! Desis Dira. LRT yang dinaiki Dira tiba di stesen Masjid Jamek. Dira turun dan melangkah dengan penuh berhati-hati.

Dira menuju ke Masjid India. Berjalan-jalan melihat jualan-jualan para peniaga. Macam-macam ada. Terasa ingin dibeli semua oleh DIra. Jam, tudung, baju, beg, kasut dan pakaian. Dira menjadi rambang mata memandangkan harga jualan di sana agak murah. Kualiti? Tidak semua barang murah tidak berkualiti. Itulah pendirian Dira. Membeli barang tidak menilai pada harga asalkan selesa memakainya.

Dalam jumlah RM60 juga Dira habiskan dalam masa kurang sejam. Dira memang berhajat untuk shopping di Masjid India. Dira ingin mengurangkan rasa tekanan yang dihadapi. Rasa sedih yang dialami. Dan bermacam-macam-macam perasaan lagi. Sedang berjalan-jalan di kawasan tumpuan itu, Dira teringat akan rakan-rakannya. Kadang-kadang mereka berjalan bersama. Tapi, hari itu Dira hanya berjalan seorang diri dengan beg yang digalas dan dijinjing. Lantak lah apa orang nak cakap. Beg aku, bukan beg dia orang! Duit aku, bukan duit dia orang! Disebabkan berjalan seorang diri, Dira lebih banyak bermonolog dalam diri.

Setelah puas berjalan-jalan di Masjid India, perut sudah terasa lapar. Dira merancang untuk makan di Puduraya. Dira pun membeli tiket LRT untuk ke Puduraya. Tiket sudah dibeli, tetapi Dira salah tempat membeli tiket. Dira patah semula ke stesen sebelah. Dira menjadi teragak-agak stesen mana yang sepatutnya dinaiki. Sampai ke satu stesen Dira pun bertanya kepada seorang perempuan yang memakai baju kurung dan bertudung. Mesti dia ni orang baik, tanya dia lah sebelum aku tersalah naik LRT. Bisik Dira di dalam hati.

Assalamualaikum, nak tanya boleh?

Perempuan itu mengangguk dan tersenyum.

Stesen ni menuju ke Pudu kan?

Perempuan itu mengangguk. Tak boleh bercakap dah ke? Tak pe lah, dia dah meyakinkan aku stesen ni dah betul. Ngomel Dira dalam hati.

Dira melalui tiga stesen. Dira masuk dengan penuh berhati-hati agar tidak tersepit memandangkan ramai penumpang yang hendak masuk sekali. Dira berdiri kerana tiada kekosongan tempat. Destinasi Dira pun sampai. Dira merasa pelik sebab tidak ramai penumpang yang turun. Dira pun melangkah keluar dan bertanggapan penumpang yang lain mesti ramai yang turun di  stesen Hang Tuah.

Dira melangkah mengikuti beberapa orang yang keluar dari LRT yang mereka naiki. Dira terasa hairan sebab suasana  tidak sama seperti di Puduraya. Mungkin dah baru kot. Kan Puduraya sekarang dah baru. Tak macam dulu lagi. Dira menyedapkan hatinya. Laluan yang diikuti Dira mempunyai cabang. Dira mula menjadi keliru. Macam pelik je jalan ni. Dira berkata-kata dalam dirinya sendiri.  Dira terus melangkah. Laluan yang diikuti hanya lorong-lorong kecil. Dira melalui satu kuil. Ish! Jalan mana ni? Dira tertanya-tanya. Memandangkan ramai juga yang melalui jalan itu, Dira hanya berfikiran positif. Jauh juga stesen ni nak menuju ke Puduraya. Sedangkan dulu rasa macam dekat je. Dira menyedapkan hatinya. Laluan yang diikuti Dira masuk ke sebuah apartmen. Tiba di satu kawasan, Dira tidak tahu hendak memilih laluan mana lagi. Sah! Dira tersesat.

Auntie, nak tanya boleh? Ni kat mana ek?

Kolokium.

Kolokium? Saya nak ke Pudu ikut jalan mana ek auntie?

Jalan Pudu sana lagi. Dari stesen LRT jalan terus dan akan nampak Pudu?

Oh ye ke auntie? Terima kasih ye auntie.

Dira meyakini seorang makcik India adalah orang baik. Makcik India itu baharu sahaja menutuk gerainya dan Dira bertanya kepada makcik India tersebut. Rupanya, Dira tersalah jalan. Dira patah balik. Dira mula berasa risau. Risau jalan kembali ke stesen LRT salah. Dira berjalan sudah hampir setengah jam. Kaki sudah terasa lenguh. Alhamdulillah dah sampai semula di stesen ni. Owh.. sepatutnya tadi saya ikut jalan ni. Tapi pergi ikut laluan tu pulak. Tu lah, ikut sangat orang yang berjalan di hadapan. Dira merungut sendiri.

Dira meneruskan perjalanan dengan kaki yang mula terasa lenguh. Tetapi, sekali lagi Dira terasa pelik kerana laluan tetap berbeza seperti laluan yang pernah diikuti semasa di Puduraya dahulu. Aku sesat lagi kah? Dira mula berasa tidak sedap hati lagi.

Walaupun laluan yang diikuti kini kelihatan lebih lapang dan ramai orang yang melaluinya, namun Dira tetap berasa pelik. Memandangkan banyak kedai dan tempat membaiki kenderaan bermotor, namun Dira tidak berani bertanya kerana mereka lelaki. Kawasan yang dilalui Dira pun agak lapang. Sepanjang perjalanan, Dira tidak putus-putus membaca surah-surah lazim. Ayat kursi, surah Al-Fatihah tidak putus-putus dalam hatinya. Dira berdoa agar Allah memberi petunjuk jalan.

Dira meneruskan perjalanan. Dira menganggap laluannya adalah betul kerana kelihatan jalan raya dan kenderaan yang banyak. Dira menuju ke sana.

Tapi, kenapa keadaannya tidak sama macam Puduraya? Aku sesat lagi kah? Di mana aku sekarang? Perlu kah aku hubungi dia? Tapi, nanti dia akan risau pula. Persoalan demi persoalan bermain di fikiran Dira. Kerisauan nya sehingga ingin menghubungi seorang hamba Allah yang masih berada di hatinya. Demi keluarga, hubungan terhenti. Allah lebih mengetahui mana yang terbaik untuk mereka. Dira pun mengambil keputusan untuk bertanya dengan seorang peniaga kedai runcit. Seorang lelaki Cina yang sudah berusia. Dira meyakinkan dirinya bahawa lelaki cina itu adalah orang baik dan tidak akan mengapa-apakannya.

Uncle, nak tanya boleh? Nak pergi Puduraya ikut laluan mana ye?

Puduraya sana.

Jauh ke uncle dari sini?

Jauh oo
Amoi dari mana?

Saya dari Masjid India nak ke Puduraya

Awak salah turun stesen la amoi. Awak kena turun dekat stesen Plaza Rakyat.

Owh ye ke uncle?

Awak pergi stesen LRT ambil tiket ke Plaza Rakyat la.

Owh baiklah uncle. Terima kasih ya uncle.

Astagfirullahalazim. Jauhnya aku berjalan. Ya Allah, kuatkan hamba mu ini. Dira terasa sedih. Rupanya auntie yang menunjukkan jalan juga salah. Bukan auntie tu yang salah. Dira yang salah kerana salah turun stesen. Dira terasa ingin menitiskan air mata. Kaki terasa lenguh sangat dengan beg yang digalas dan dijinjing. Rupanya tersesat. Sedar tidak sedar hampir sejam Dira tersesat hanya ingin menuju ke Puduraya sahaja. Kalau aku berjalan kaki dari Masjid India ke Puduraya mesti aku tidak sesat. Dira merintih dalam hati kecilnya.

Dira mengambil keputusan untuk menaiki teksi sahaja ke Puduraya. Dira sudah tidak peduli tentang kos asalkan dia boleh sampai di Puduraya.

Sampai ke Puduraya Dira bertanya kepada seorang pengawal keselamatan tentang stesen bas yang hendak dinaiki. Seminggu sebelum bercuti Dira ada membaca dalam salah satu akhbar tempatan berkaitan stesen bas untuk ke tempat yang ingin dituju ditutup buat sementara waktu untuk penambahbaikan. Jadi Dira tidak tahu stesen bas yang baharu. Pengawal keselamatan menjawab setiap pertanyaan Dira
.
Dira menuju ke tempat yang diberitahu. Alhamdulillah, jumpa juga bas yang akan menuju ke sana. Doa Dira dalam hatinya. Sebelum menaiki bas, DIra mengambil keputusan untuk makan dahulu. Dira akan menjamakkan solatnya setelah sampai di rumah abangnya nanti.

Setelah itu, Dira menaiki bas. Dalam perjalanan, Dira tertidur keletihan. Dira memberitahu tentang perjalanannya hari itu dan rakan-rakannya terasa kelakar dengan ceritanya. Dira tersenyum sendiri. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam. Sampai di tempat yang ingin dituju, abang kandungnya sudah menunggu di stesen bas bersama seorang budak kecil, iaitu anak buah Dira.

Dira selamat sampai di rumah dan terus mandi. Dira bersiap-siap dan selepas maghrib, Dira, kakak iparnya, anak buahnya, dan abangnya bersiap-siap untuk ke UKM pula untuk mengambil adiknya di sana.
Raya Aidiladha pada tahun ini, sekali lagi Dira beraya bersama mereka dan kali pertama untuk adiknya yang baru menyambung pengajiannya di UKM. Beraya di perantauan sangat menyedihkan. Tapi ini lah pengorbanan belajar di negeri orang. Semoga Allah memberikan ganjaran atas pengorbanan ini.

Perjalanan Dira menuju ke rumah abangnya memberi satu seribu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Banyak pengajaran yang dapat diambil dalam setiap apa yang dilaluinya. Setiap musibah, ada hikmah di sebalik semuanya kerana Dira yakin pada Allah swt. Allah akan melindungi setiap hamba yang sentiasa ingat padanya sesungguhnya Dia lah maha penolong dan sebaik-baik pelindung.

0 comments: